!!!

Followers

Monday, November 22, 2010

Mati bersama mi goreng adik

MOHD HAFIZI... maut
MOHD HAFIZI... maut

BALING: Niat murni pelajar lelaki berusia 15 tahun membeli makanan untuk adik bongsunya berakhir tragedi apabila dia terbunuh selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang kereta di Jalan Parit Panjang - Kuala Pegang, berhampiran Kampung Banggol Berangan, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Mohd Hafizi Abdul Razak dari Kampung Lanai, Parit Panjang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli mi goreng untuk adik bongsunya, Mohd Aidil, 9.


Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, Jitra, yang juga orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah penglihatan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas merempuh kereta Daihatsu Charade Aura yang mahu membelok ke kanan.

Bapa mangsa, Abdul Razak Saad, 46, berkata, sebelum kejadian anak keempat daripada lima beradik itu meminta izin daripadanya membeli mi goreng di kedai terletak satu kilometer dari rumah mereka kerana Mohd Aidil mengadu lapar.


“Saya membenarkan dia pergi kerana saya tak sihat, tetapi tak menyangka dia sebenarnya ke kedai di pekan Parit Panjang sejauh tiga kilometer dari rumah sehinggalah saya dimaklumkan dia terbabit dalam kemalangan,” katanya.


Abdul Razak berkata, ketika menjemput Mohd Hafizi di asrama sekolahnya Selasa lalu untuk menyambut Aidiladha, dia mendapati anaknya kurang ceria.

Malah, Abdul Razak turut dimaklumkan guru sekolah berkenaan yang anaknya itu kurang ceria sejak akhir-akhir ini berbanding sikapnya yang periang sebelum ini.


Menurutnya, pagi kelmarin Mohd Hafizi membeli lima bungkus nasi putih berlauk telur goreng untuk hidangan mereka sekeluarga.

“Selalunya dia keluar membelikan kami nasi lemak, tetapi semalam dia beli nasi putih dan semuanya berlaukan telur goreng saja.


“Saya tak terfikir langsung mengenai perubahan sikapnya itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya. Saya reda dengan kejadian ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa yang tidak memiliki lesen memandu serta tidak memakai topi keledar, dipercayai melanggar tayar belakang kereta berkenaan sebelum terjatuh.


“Hentakan kuat di kepala berikutan tidak memakai topi keledar menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Baling sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanai, jam 11 pagi, semalam.


Mat Daud berkata, pemandu kereta berkenaan, Mohd Salahuddin Mansor, 27, dari Kampung Alai, Gerik, Perak, tidak cedera.


Beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengawal pergerakan anak di bawah umur supaya mereka tidak terdedah kepada kesalahan undang-undang jalan raya.


“Ibu bapa boleh didakwa kerana membenarkan anak di bawah umur menunggang motosikal tanpa memiliki lesen yang sah serta dilindungi insurans,” katanya.

No comments: